SemasaSukan

Tun Md Raus Ketuai Jawatankuasa Bebas Siasat Isu Pemain Warisan

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan pelantikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif, sebagai pengerusi jawatankuasa bebas bagi menyiasat isu dokumentasi tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang dikenakan hukuman oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

FAM dalam kenyataan hari ini menegaskan bahawa tiada individu daripada dalam organisasi itu akan dilibatkan bagi memastikan siasatan dijalankan secara adil, telus dan profesional.

Menurut FAM, Tun Md Raus turut diberikan tanggungjawab untuk memilih sendiri ahli-ahli jawatankuasa bebas bagi melengkapkan pasukan penyiasatan tersebut.

“Berdasarkan kredibiliti dan pengalaman luas beliau, FAM berharap Tun Md Raus bersama ahli jawatankuasa bebas yang akan dipilihnya dapat menjalankan siasatan dengan teliti dan menyeluruh sebelum membuat rumusan akhir,” kata kenyataan itu.

Bulan lalu, FIFA menjatuhkan hukuman penggantungan selama 12 bulan serta denda CHF2,000 (RM10,560) terhadap tujuh pemain warisan iaitu Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.

Hukuman tersebut dikeluarkan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas mereka didakwa melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berkaitan pemalsuan dokumen. FAM turut dikenakan denda CHF350,000 (RM1.8 juta).

Keputusan rayuan FAM terhadap hukuman berkenaan dijangka diumumkan pada 30 Oktober ini.

Sumber: Bernama

Related Articles

Back to top button