Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben-Gvir, dilaporkan telah membatalkan rancangan untuk menghadiri persidangan ketua polis Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York minggu ini.
Langkah itu diambil susulan tekanan undang-undang yang semakin hebat serta gesaan pertubuhan hak asasi manusia yang mahu beliau disiasat dan ditahan atas dakwaan penglibatan dalam jenayah perang.
Walaupun pejabat Ben-Gvir masih belum mengeluarkan pengesahan rasmi, akhbar Israel Haaretz memetik kenyataan pegawai kementerian yang mengesahkan pembatalan tersebut. Keputusan itu dibuat berikutan ancaman demonstrasi besar-besaran yang dirancang bagi menentang kehadirannya, selain tindakan undang-undang yang menanti beliau di Amerika Syarikat (AS).
Gesaan Tahan dan Dakwa
Awal minggu ini, Yayasan Hind Rajab yang berpangkalan di Belgium, bersama Pusat Hak Perlembagaan di New York, telah mengemukakan aduan rasmi kepada Jabatan Kehakiman AS serta Peguam Negara New York, Letitia James.
Mereka mendesak pihak berkuasa AS untuk menahan dan mendakwa menteri berhaluan kanan itu sebaik sahaja beliau menjejakkan kaki di New York atas kesalahan berkaitan dasar sistem penjara Israel yang berada di bawah bidang kuasanya.
“Ben-Gvir menggunakan kuasanya untuk menggubal dasar penyeksaan, pembunuhan, penderaan, dan pengusiran paksa secara sistematik ke atas tahanan Palestin,” memetik kenyataan rasmi yayasan berkenaan.
Aduan tersebut turut memperincikan 11 kes melibatkan warga New York yang menjadi mangsa kekejaman rejim, termasuk 10 individu dalam flotila bantuan ke Gaza yang diculik dan didera oleh tentera Israel, serta seorang warga Amerika-Palestin yang mendakwa diseksa dan dibiarkan kelaparan di dalam penjara Israel.
Kebal Undang-Undang Mula Terhakis
Susulan laporan pembatalan tersebut, Yayasan Hind Rajab menerusi satu kenyataan di platform X menyatakan bahawa ini merupakan petanda awal bahawa imuniti politik yang dinikmati oleh pemimpin Israel selama ini sudah mula goyah.
“Pemimpin politik dan tentera Israel sebelum ini bebas menjelajah dunia dengan harapan mereka kebal daripada tindakan undang-undang. Kini, jangkaan tersebut sudah mula terhakis,” kata organisasi itu.
Ini menandakan kali kedua lawatan Ben-Gvir ke AS dibatalkan dalam tempoh sebulan. Bulan lalu, beliau terpaksa membatalkan lawatan peribadi ke negara tersebut selepas dilaporkan berdepan masalah berkaitan kelulusan visa.
Bagi persidangan PBB yang dijadualkan pada Selasa dan Rabu ini, Ben-Gvir pada asalnya tidak berdepan masalah visa kerana beliau sepatutnya mengetuai delegasi rasmi kerajaan Israel. – AGENSI







