
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) untuk melipatgandakan usaha bagi menyelesaikan isu-isu kronik yang sekian lama membelenggu warga peneroka.
Beliau memberikan penekanan khusus agar tindakan segera diambil bagi menangani masalah membabitkan perumahan generasi kedua serta isu pemilikan tanah.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik di laman Facebook rasmi beliau hari ini, Anwar menegaskan bahawa kemelut yang dihadapi oleh komuniti berkenaan tidak boleh terus dibiarkan berlarutan tanpa sebarang jalan penyelesaian. Sebaliknya, beliau mahukan satu tindakan tuntas dan segera dilaksanakan dengan berpaksikan kepada kepentingan dan kebajikan warga FELDA.
“Setiap permasalahan perlu diteliti secara cermat dan disusuli pelan penyelesaian yang jelas,” kata beliau dalam hantaran tersebut.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut memberi jaminan bahawa Kerajaan MADANI komited untuk terus memperkukuh kedudukan FELDA. Langkah ini bagi memastikan setiap ikhtiar dan agenda pembangunan yang dirancang serta dilaksanakan selepas ini benar-benar memberi manfaat yang optimum kepada para peneroka dan seluruh ahli keluarga mereka.
(Sumber: BERNAMA)







