Di sebalik dentuman muzik rap Arab dan sorakan ratusan penonton yang memenuhi ruang tempat duduk di bandar Rawabi, Tebing Barat, sekumpulan pemilik kuda sibuk memberikan sentuhan terakhir pada kuda jantan Arab mereka sebelum melangkah megah ke gelanggang pertunjukan.
Bagi masyarakat Palestin, memelihara baka kuda Arab bukan sekadar hobi, malah ia telah menjadi simbol identiti, warisan dan penyatuan komuniti yang utuh ketika wilayah mereka semakin mengecil akibat peluasan penempatan haram Israel.
“Rakyat Palestin mempunyai minat yang amat mendalam terhadap kuda Arab,” kata Abdelnasser Musleh, seorang penternak berusia 30 tahun kepada agensi berita AFP semasa pertandingan ratu cantik kuda tersebut. “Saya percaya sebahagian besar identiti, budaya dan keberadaan kami berkait rapat dengan kuda. Kami amat berbangga dengan baka Arab ini.”
Meskipun kawasan tanah lapang semakin terhad berikutan pembinaan penempatan haram rejim Zionis yang kian meluas di Tebing Barat, budaya penunggang dan penternak kuda terus berkembang di sudut-sudut bandar dan luar bandar yang tidak disangka-sangka sebagai medium rekreasi.
Musleh sendiri telah membina sebuah ladang kuda Arab di bandar Kufr Aqab — sebuah kawasan padat penduduk di utara Baitulmaqdis yang terletak bersebelahan dengan tembok pemisah yang dibina oleh Israel. Ladangnya dibina secara kreatif di celah-celah bangunan tinggi berhampiran pusat pemeriksaan utama ketenteraan.
Identiti Yang Mengalir Dalam Darah
Di lokasi pertandingan, suasana kelihatan meriah. Para pemilik dan pengendali komited mendandan kuda masing-masing, termasuk menyapu gel berkilat di sekitar mata serta menyikat bulu halus haiwan berkenaan — dua ciri utama keunikan baka Arab yang kini semakin popular di Palestin.
Menurut juri pertandingan dari Belgium, Conrad Detailleur, baka ini mula dihidupkan semula oleh rakyat Palestin sejak beberapa dekad kebelakangan ini. Seorang penternak dari Tebing Barat, Ashraf Rabee, mendedahkan bahawa kini terdapat kira-kira 25,000 ekor kuda Arab tulen yang berdaftar di seluruh Israel dan wilayah Palestin, melonjak drastik berbanding hanya sekitar 20 ekor pada tahun 1970-an.
Bagi Musleh yang telah berkecimpung dalam bidang ini selama 13 tahun, acara seumpama ini menawarkan ruang kritikal untuk rakyat Palestin berkumpul dan bertukar pengetahuan. Semangat ini tidak terpadam walaupun mereka terpaksa menggunakan ruang bandar yang kecil mahupun kandang sementara.
Di Baitulmaqdis Timur yang diduduki, penunggang kuda dilihat memimpin haiwan mereka melalui kawasan kejiranan yang sesak sebelum memecut di Gunung Scopus pada waktu senja. Sementara itu, di bandar lama Nablus, bunyi ringkikan kuda kerap kedengaran dari dalam rumah-rumah batu berusia berabad-abad yang diubah suai menjadi kandang tersembunyi.
Kecintaan ini turut dikongsi oleh Rashad al-Sah, seorang penternak dari Arraba yang anak kudanya, Shahed, memenangi anugerah dalam pameran di Rawabi itu.
“Anda akan merasakan kuda Arab itu sebahagian daripada diri anda, walaupun anda tidak memilikinya sendiri. Semangat ini sudah mengalir di dalam darah kami,” katanya.
SUMBER: TRT World / AFP






