
Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) berhasrat memperkukuh kerjasama dalam membangunkan Awan Kecerdasan Buatan (AI) Berdaulat Malaysia, dengan Washington menyediakan dana berjumlah AS$50 juta menerusi program SI SPARK bagi menyokong inisiatif berkenaan, tertakluk kepada persetujuan antara kedua-dua kerajaan berhubung terma serta skop bantuan tersebut.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden AS, Donald Trump telah mengumumkan hasrat kedua-dua negara untuk menjalin kerjasama strategik bagi menyokong inisiatif Malaysia itu, termasuk melalui penyertaan syarikat-syarikat teknologi AS.
Menurut MCMC, Malaysia akan mengekalkan kuasa penuh dalam menentukan reka bentuk, kaedah perolehan serta pengaturan operasi bagi kemudahan Awan AI Berdaulat berkenaan.
“Infrastruktur dan data yang dihoskan akan ditempatkan sepenuhnya di Malaysia, tertakluk kepada undang-undang negara serta kekal dalam pemilikan, jagaan dan kawalan Malaysia,” menurut kenyataan itu.
MCMC turut memaklumkan bahawa bidang kerjasama yang berpotensi merangkumi bantuan teknikal serta latihan bagi membangunkan tenaga kerja AI tempatan, di samping memperkukuh keupayaan Malaysia untuk mengendalikan infrastruktur digital yang selamat dan berdaya tahan.
Dalam pada itu, penyertaan syarikat teknologi AS adalah tertakluk sepenuhnya kepada undang-undang dan proses perolehan Malaysia, pematuhan keperluan teknikal dan keselamatan, serta pemeteraian perjanjian berkaitan.
Menerusi kerangka Perkongsian Strategik Komprehensif, Malaysia dan AS berhasrat untuk terus mempererat kerjasama dalam bidang AI dan teknologi digital yang selamat, dengan menghormati sepenuhnya kedaulatan serta autonomi kawal selia setiap negara.
Sumber: BERNAMA







