BanjirSemasa

Dasar pengurusan bencana negara diperkemas libatkan NGO

PUCHONG: Dasar Pengurusan Bencana Negara diperkemaskan dengan melibatkan peranan badan bukan kerajaan (NGO) yang berkepakaran dalam usaha memperkukuh dan menambah baik pengurusan bencana negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pendekatan itu diambil bagi menghasilkan modul pengurusan bencana yang lebih komprehensif iaitu menerusi Pengurusan Risiko Bencana Berorientasikan Komuniti.

Datuk Amrizan Mohd Ali ketika ditemubual di Markas Pasukan Smart, Pulau Meranti

“Peranan NGO akan dimasukkan secara rasmi dalam dokumen tersebut yang bakal dijadikan panduan dan rujukan dalam menangani bencana banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas bertemu NGO disertai 72 rakan-rakan daripada 36 kumpulan, Agensi Pengurusan Bencana (NADMA) dan Rakan Nadma serta melawat Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) di Markas Pasukan Smart, Pulau Meranti, di sini pada Khamis.

Armizan berkata, dasar yang telah ditambah baik itu akan menjadi dasar induk bagi memayungi sebarang bentuk inisiatif gerak kerja di semua agensi dan pihak yang terlibat dalam pengurusan berkenaan.

Ditanya berhubung dakwaan NADMA gagal dalam menangani pengurusan banjir di Selangor tahun lepas, Armizan berkata, tanggungjawab tersebut bukan hanya terletak di bahu NADMA tetapi juga pihak yang berkaitan.

Justeru, katanya satu simulasi persiapan menghadapi bencana banjir diterajui NADMA akan dilaksanakan bagi menambah baik pengurusan, selain sebagai persediaan menghadapi kemungkinan banjir gelombang kedua Monsun Timur Laut yang dijangka bermula 17 Dis ini.

“Walaupun ada panduan sudah tertulis tetapi kalau tidak disertai secara simulasi, maka bila berlaku kejadian semua akan panik,” katanya.

Armizan memaklumkan sehingga semalam seramai 12,097 mangsa banjir melibatkan 3,344 keluarga di seluruh negara telah dipindahkan ke 162 pusat penempatan sementara, sejak bermulanya Monsun Timur Laut awal bulan lepas.

“Jumlah (mangsa banjir) dijangka meningkat susulan gelombang kedua yang akan membawa fenomena hujan lebat, laut bergelora dan angin kencang secara berterusan,” katanya. – BERNAMA

BACA JUGA
Aktivis MAPIM bertindak segera bantu ummah di Bangi Lama

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button