PalestinSemasa

Israel Perketat Sekatan Tanah Milik Palestin Di Tebing Barat Melalui Perintah Tentera

Pihak berkuasa Israel dilapor telah mengeluarkan sebanyak 49 arahan ketenteraan baharu sejak Januari lalu yang menyasarkan kawasan seluas 2,093 dunam (kira-kira 2.09 kilometer persegi) tanah milik persendirian rakyat Palestin di Tebing Barat yang diduduki.

Menurut kenyataan Suruhanjaya Penjajahan dan Penentangan Tembok Palestin pada Sabtu, perintah yang dikeluarkan di bawah alasan “langkah keselamatan” itu tidak merampas hak milik tanah secara rasmi.

Bagaimanapun, ia mengenakan sekatan perundangan dan fizikal yang ketat yang menghalang akses pemilik, melarang sebarang aktiviti penanaman, serta membenarkan tindakan menebang atau memangkas pokok di atas harta persendirian terbabit.

Suruhanjaya itu mendedahkan bahawa langkah-langkah sekatan tersebut tertumpu terutamanya di kawasan sekitar penempatan haram Israel, laluan jalan raya penempatan, tembok pemisah, serta kawasan pangkalan tentera. Strategi ini dilihat sebagai usaha terancang rejim Zionis untuk meluaskan kawalan fizikal ke atas tanah Palestin tanpa perlu mengubah status hak milik secara rasmi.

Data suruhanjaya menunjukkan peningkatan mendadak dalam pelaksanaan taktik berkenaan. Sepanjang tahun 2025, Israel mengeluarkan 47 perintah ketenteraan yang meliputi 1,613 dunam, berbanding 49 perintah yang melibatkan kawasan lebih luas iaitu 2,093 dunam pada separuh pertama tahun 2026 sahaja.

750,000 Peneroka Haram Di Tanah Rampasan

Berdasarkan laporan separuh tahunan badan itu, peningkatan penguatkuasaan arahan ketenteraan tersebut bertujuan untuk mempercepatkan peluasan infrastruktur penempatan haram dan menyekat terus akses warga Palestin ke tanah mereka.

Sepanjang enam bulan pertama tahun ini, penjajah Israel dilapor telah melancarkan sebanyak 3,488 siri serangan di Tebing Barat. Ini termasuk serbuan ke atas komuniti Palestin, serangan pembakaran, insiden tembakan, rampasan tanah secara tidak sah, serta pembukaan pos-pos penempatan baharu.

Sementara itu, badan pemantau anti-penempatan Israel, Peace Now, menganggarkan kira-kira 500,000 pendatang haram Yahudi kini menetap di Tebing Barat yang diduduki, manakala 250,000 lagi berada di wilayah Baitulmaqdis Timur.

Sejak kempen pembunuhan beramai-ramai (genosid) di Semenanjung Gaza meletus pada Oktober 2023, situasi di Tebing Barat turut dilaporkan semakin meruncing ekoran kekejaman tentera rejim dan serangan ganas peneroka haram.

Mengikut statistik rasmi pihak Palestin, konflik yang berlarutan ini telah mengorbankan sekurang-kurangnya 1,175 rakyat Palestin, mencederakan 12,919 orang, menyebabkan lebih 33,000 penduduk kehilangan tempat tinggal, serta menyaksikan penahanan hampir 24,000 individu di Tebing Barat.

SUMBER: TRT World / Agensi Anadolu (AA)

Related Articles

Back to top button