Seorang ahli parlimen kanan Parti Demokrat Amerika Syarikat (AS) dari California, Ro Khanna, mendedahkan bahawa beliau bersama beberapa warga Amerika yang lain telah “ditahan” oleh sekumpulan peneroka haram Israel yang bersenjata semasa mengadakan lawatan ke Tebing Barat yang diduduki, minggu ini.
Lebih mengejutkan, beliau turut mendakwa bahawa pasukan tentera Israel bersubahat dan bersekongkol dalam insiden cemas berkenaan.
“Peneroka Israel yang membawa raifal M4 buatan Amerika telah menahan saya dan rakyat Amerika yang lain dalam perjalanan saya ke Palestin,” kata Khanna menerusi satu hantaran di platform X pada Sabtu.
Khanna menjelaskan bahawa ketika kejadian, mereka berada di sebuah perkampungan Palestin yang telah musnah akibat serangan peneroka haram Israel sebelum ini. Kumpulan itu dilaporkan telah memusnahkan sekolah serta seluruh infrastruktur kampung tersebut.
Beliau menambah, situasi menjadi lebih buruk apabila pasukan tentera Israel tiba di lokasi kejadian.
“Mereka sebaliknya berpihak kepada kumpulan peneroka tersebut dan meneruskan penahanan ke atas kami. Mereka telah melakukan kesilapan yang amat besar,” tegas Khanna.
Berdasarkan rakaman video dan laporan yang diserahkan kepada The New York Times oleh Khanna dan pasukannya, sekumpulan lelaki bersenjata dilihat menyekat laluan jalan raya di luar sebuah perkampungan kecil di selatan Tebing Barat, selain memaki hamun delegasi AS itu dalam bahasa Ibrani dan Arab.
Seorang pembantu Khanna yang berada di lokasi, Cameron Kasky, memaklumkan bahawa mereka telah ditahan selama lebih satu jam dan terpaksa menghubungi Kedutaan AS bagi mendapatkan bantuan kecemasan.
Insiden tersebut dilaporkan berlaku berhampiran Khirbet Zanuta, sebuah dusun kecil Palestin yang penduduk asalnya telah diusir secara paksa ekoran serbuan ganas oleh peneroka Israel selepas konflik meletus pada Oktober 2023.
Khanna memberitahu The New York Times bahawa askar Israel pada mulanya dilihat berbincang dengan kumpulan peneroka terbabit. Sebaik sahaja peneroka itu beredar, anggota tentera pula bertindak menyekat jalan raya berkenaan. Khanna dan pasukannya hanya dibenarkan melepasi sekatan tersebut selepas mereka membuat laporan kepada kedutaan AS dan pihak polis Israel.
Menurut data daripada Suruhanjaya Penjajahan dan Penentangan Tembok Palestin, kumpulan peneroka haram Israel telah melancarkan sebanyak 3,488 serangan di seluruh Tebing Barat sepanjang separuh pertama tahun ini sahaja, yang mengakibatkan kematian 17 rakyat Palestin.
Secara keseluruhan, sejak 8 Oktober 2023, siri serangan agresif oleh tentera rejim dan peneroka haram Israel di Tebing Barat telah mengorbankan seramai 1,179 rakyat Palestin, mencederakan 12,666 orang, dan menyaksikan penahanan sekitar 24,000 penduduk.
SUMBER: TRT World / AFP / Reuters






