PolitikSemasa

Zaman “Budaya Sakau” Sudah Berakhir, Pemimpin Mesti Berintegriti Tanpa Kira Kaum – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengeluarkan amaran keras bahawa era “budaya sakau” serta politik yang memperkayakan kroni kini telah berakhir.

Beliau menegaskan komitmen tidak berbelah bahagi Kerajaan MADANI untuk melahirkan barisan kepimpinan yang bersih dan berintegriti tanpa mengira latar belakang kaum.

Menurut beliau, fokus utama kerajaan pada masa ini adalah untuk “membersihkan” sistem pentadbiran negara daripada amalan rasuah yang telah lama berakar umbi. Langkah ini penting bagi memastikan setiap sen daripada hasil bumi Malaysia dipulangkan sepenuhnya demi memelihara kebajikan rakyat.

Menyedari terdapat sentimen perkauman sempit yang sengaja dimainkan oleh pihak tertentu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menggesa rakyat supaya menilai seseorang pemimpin berdasarkan nilai integriti dan kejujuran, dan bukannya bersandarkan retorik politik yang bertujuan menutup penyelewengan masa lalu.

“Tanya saya, saya tak mahu pemimpin itu jadi pemimpin… saya nak Melayu yang baik, jujur, tak korup jadi pemimpin… saya nak Cina yang baik, tak korup jadi pemimpin,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada program Jelajah Johor Ke Depan, Undi Harapan DUN Serom di Sungai Mati di sini malam ini.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh.

Hentikan Amalan Salah Guna Kuasa

Anwar menjelaskan bahawa amalan menyalahgunakan kuasa untuk memperkayakan ahli keluarga dan kroni tertentu menerusi pemberian kontrak kerajaan mestilah dihentikan serta-merta. Usaha ini kritikal bagi membolehkan Malaysia terus melangkah maju serta dihormati di peringkat global.

“Bukan guna kuasa, masa inilah bagi anak saya kaya, bagi kontrak kepada bini saya… itu budaya dulu, budaya sakau… kerajaan mesti jaga dan hentikan perangai itu,” tegas beliau.

Beliau turut menyatakan bahawa desakan politik yang sengaja dicetuskan oleh pihak lawan pada masa ini sebenarnya didorong oleh agenda peribadi pihak terbabit untuk merebut kembali kuasa pemerintahan negara. Sehubungan itu, Perdana Menteri memberikan jaminan bahawa tiada mana-mana pihak yang akan dilindungi oleh kerajaan sekiranya mereka didapati terlibat dalam sebarang salah laku rasuah sepanjang tempoh beliau menerajui negara.

Seruan Kepada Pengundi Johor

Dalam pada itu, beliau menyeru rakyat, terutamanya para pengundi di Johor, supaya memanfaatkan hak mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini dengan menolak pemimpin yang tidak berintegriti demi menyelamatkan masa depan generasi akan datang.

Program yang berlangsung di Sungai Mati itu merupakan lokasi kelapan yang dihadiri oleh Anwar hari ini dalam siri kempen PRN Johor. Kehadiran beliau sekali gus melengkapkan 15 jelajahnya dalam tempoh dua hari di negeri berkenaan.

PRN Johor kali ini menyaksikan seramai 172 calon bertanding bagi merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan hari pengundian rasmi telah ditetapkan pada 11 Julai ini manakala urusan undi awal pula pada 7 Julai.

-Bernama

Related Articles

Back to top button