DomestikSemasa

PM Anwar Seru Hargai Sejarah Asia Bebas Daripada Naratif Penjajah

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa agar sejarah Asia dinilai dengan lebih adil dan bebas daripada pengaruh naratif penjajah, sambil menjadikan Tipu Sultan, pemerintah Kerajaan Islam Mysore, sebagai simbol keberanian, kebijaksanaan dan toleransi.

Menurut Anwar, Tipu Sultan bersama bapanya, Haider Ali, yang memimpin Mysore pada penghujung abad ke-18, dikenang bukan sekadar kerana pentadbiran progresif dan inovasi ketenteraan, tetapi juga kerana keteguhan mereka menentang kuasa kolonial terbesar ketika itu – Syarikat Hindia Timur Inggeris.

“Sejarah tidak selalu berpihak kepada kebenaran. Seperti kata tokoh ilmuwan Syed Hussein Alatas, sejarah perlu ditulis semula kerana ia tidak wajar hanya lahir daripada sudut pandang pihak yang menang atau dari lensa penjajah,” katanya ketika merasmikan pameran Ngauman Harimau Mysore: Warisan Haider Ali dan Tipu Sultan (1761-1799) di Muzium Kesenian Islam Malaysia, malam ini.

Turut hadir ialah isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Pengerusi Yayasan Albukhary, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary; Pengerusi Bernama, Datuk Seri Wong Chun Wai dan isteri; serta wakil kedutaan dan konsulat asing.

Anwar turut berkongsi pengalaman peribadi sewaktu melawat Mysore sebelum dilantik sebagai Perdana Menteri. Beliau kagum dengan kesederhanaan istana Tipu Sultan serta usahanya melindungi kuil-kuil Hindu, termasuk sebuah kuil purba di India.

Beliau juga memuji pandangan jauh Tipu Sultan dalam menguasai teknologi ketenteraan, termasuk penggunaan meriam dan senjata api yang mengejutkan Inggeris pada pertempuran awal. Anwar menambah, keupayaan diplomasi Tipu Sultan terserlah apabila beliau membina hubungan strategik dengan pelbagai kesultanan Islam dan Hindu di India, selain berjaya mendapatkan sokongan tentera Perancis untuk menentang penjajah.

“Pameran ini bukan sekadar memaparkan sejarah Mysore, tetapi juga mengangkat naratif dunia Islam dan perjuangan menentang kolonialisme. Ia wajar dimanfaatkan untuk memperkaya pemahaman rakyat Malaysia tentang tokoh yang jarang kita kenali,” ujarnya.

Pameran khas ini akan berlangsung dari 6 Ogos 2025 hingga 11 Januari 2026 di Galeri Khas 2, Muzium Kesenian Islam Malaysia, menampilkan koleksi bersejarah yang menggambarkan legasi luar biasa Haider Ali dan Tipu Sultan.

Sumber – Bernama

Related Articles

Back to top button