Covid19Semasa

PROTON mulakan proses vaksinasi semua kakitangan

SUBANG JAYA : Proton Holdings Bhd (PROTON) telah memulakan proses vaksinasi bagi semua kakitangannya di Tanjung Malim, Perak dan di Shah Alam mulai semalam.

PROTON dalam satu kenyataan semalam berkata dengan proses vaksinasi diharapkan mampu mengurangkan jangkitan Covid-19 di Malaysia dan menghidupkan semula industri automotif di Malaysia.

“Kami berharap dengan proses vaksinasi warga kerja, kami akan membantu mengurangkan jangkitan Covid-19 di Malaysia.

“Dengan inisiatif sama dari syarikat lain, ia mampu menghidupkan semula industri automotif yang terhenti seketika semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan” katanya.

Kompleks Sukan PROTON Tanjung Malim digunakan sebagai pusat pemberian vaksin industri (PPVIN) manakala kakitangan di Shah Alam akan mendapatkan vaksinasi mereka di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC).

Dengan kapasiti maksimum harian lebih kurang 800 orang, PPVIN tersebut akan beroperasi selama enam hari bagi memastikan warga PROTON serta pembekal yang berada di sana mendapat vaksin mereka.

Dengan permulaan hari ini, proses vaksinasi ini akan diulangi semula tiga minggu kemudian bagi warga PROTON mendapatkan dos kedua mereka.

Dalam pada itu, pihak PROTON menjangkakan kebanyakan kakitangan mereka akan mendapat vaksin penuh menjelang pertengahan Ogos.

Oleh Pelatih Hafeez Anuar (Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media) / AJ

 

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button