DomestikSemasa

Polis Beri Amaran Sindiket Guna Isu Bantuan SARA untuk Tipu Rakyat

Polis mengingatkan orang ramai agar berwaspada terhadap sindiket penipuan yang dijangka mengambil kesempatan daripada pengumuman bantuan RM100 di bawah Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata pihaknya menjangkakan penjenayah akan kembali aktif menggunakan taktik menyamar sebagai wakil agensi kerajaan bagi mendapatkan maklumat peribadi dan perbankan mangsa.

Menurutnya, sindiket biasanya menghubungi mangsa melalui panggilan telefon, mesej SMS atau aplikasi WhatsApp, serta menghantar pautan palsu (phishing link) yang kelihatan rasmi bagi tujuan kononnya “pengesahan bantuan”.

“Apabila mangsa memberikan nombor akaun, kad pengenalan atau kod OTP, mereka berisiko kehilangan wang kerana penjenayah boleh mengakses dan memindahkan dana tanpa disedari,” katanya.

Setakat ini, polis belum menerima laporan berkaitan kes penipuan melibatkan SARA, namun pihaknya memandang serius potensi eksploitasi ini, khususnya kerana bantuan tersebut menyasarkan golongan rakyat yang memerlukan.

Beliau menasihatkan orang ramai agar hanya mendapatkan maklumat dan membuat semakan melalui saluran rasmi kerajaan, seperti laman web kementerian atau agensi berkaitan.

“Jangan sesekali klik pautan mencurigakan atau berkongsi maklumat peribadi kepada individu yang tidak dikenali. Kesilapan kecil seperti memberi OTP boleh mengakibatkan kerugian besar,” tegasnya.

Bantuan RM100 di bawah program SARA diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 Julai lalu, melibatkan peruntukan RM2 bilion dan memberi manfaat kepada 22 juta warganegara dewasa. Ia boleh dibelanjakan melalui MyKad bermula 31 Ogos hingga 31 Disember 2025.

Related Articles

Back to top button