PalestinSemasa

Tanda Protes: Rakyat Palestin Terbangkan Layang-Layang Di Atas Tanah Yang Dirampas Peneroka Israel

Di sebalik bayang-bayang penempatan haram Israel, kanak-kanak Palestin di perkampungan Burin, Tebing Barat, berkumpul memenuhi lereng bukit untuk menerbangkan layang-layang berwarna-warni sebagai simbol penentangan terhadap rampasan tanah oleh pendatang haram Yahudi.

Terletak bertentangan dengan perkampungan Burin yang didiami beberapa ribu penduduk, kawasan perumahan beratap merah Har Bracha tersergam di atas bukit. Penempatan haram Israel yang dibina sejak tahun 1983 itu jelas melanggar undang-undang antarabangsa dan menjadi salah satu daripada beberapa penempatan yang mengepung perkampungan terbabit.

Sejak tahun 2009, penduduk Burin mengadakan festival layang-layang pada setiap musim panas di kawasan bukit berkenaan, yang didakwa telah hilang sebahagiannya selepas dirampas secara tidak sah oleh peneroka Israel.

“Kami mahu mesej ini sampai kepada para peneroka bahawa ini adalah tanah kami dan ini adalah langit kami. Jika kami tidak lagi dibenarkan menjejakkan kaki ke tanah tersebut, sekurang-kurangnya layang-layang kami boleh sampai ke sana,” kata Ghassan Najjar, salah seorang penganjur festival itu kepada agensi berita AFP.

Menurut beliau, walaupun festival ini dianjurkan khusus untuk kegembiraan kanak-kanak, ia juga membawa “mesej politik” yang mendalam. Di Burin, perbualan harian penduduk jarang sekali terlepas daripada topik serangan peneroka haram atau peluasan penempatan Israel yang terus bermaharajalela di seluruh wilayah Palestin.

Seawal tahun 2008, Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) telah mengeluarkan amaran mengenai keganasan peneroka di kawasan itu, termasuk insiden tembakan yang menyasarkan penduduk tempatan dan tindakan menebang pokok-pokok zaitun milik mereka.

Malah sejak bermulanya serangan pembunuhan beramai-ramai (genosid) di Gaza pada Oktober 2023, PBB melaporkan peningkatan mendadak dalam kes keganasan oleh peneroka Israel di Tebing Barat. Keadaan ini diburukkan lagi apabila beberapa menteri kabinet Israel secara terbuka terus menyeru agar seluruh atau sebahagian daripada wilayah berkenaan dijajah sepenuhnya.

Meskipun diadakan dalam suasana penuh konflik, festival tersebut berjaya mengubah suasana lereng bukit itu menjadi seperti pesta keramaian selama beberapa jam. Kehadiran badut yang melukis muka kanak-kanak, alunan muzik, serta aktiviti berkeluarga menghamparkan permaidani berkelah menceriakan suasana. Layang-layang yang melambangkan warna bendera Palestin – hitam, putih, hijau dan merah – kelihatan megah memenuhi ruang udara.

Bagaimanapun, kebimbangan tetap menyelubungi penduduk. Sebelum berkumpul, mereka terpaksa memeriksa keadaan sekeliling terlebih dahulu bagi memastikan tiada ancaman daripada kumpulan peneroka Israel yang berhampiran.

Seorang remaja berusia 15 tahun, Sanaa Bashar Najjar, berkongsi rasa bimbangnya: “Kadangkala kami berasa takut. Tahun lalu kami tidak dapat datang kerana kampung kami diserang oleh peneroka. Kami hanya meluangkan masa sekitar setengah atau sejam di sini sekadar untuk menghirup udara segar. Di sebalik perang dan kesusahan ekonomi, kami hanya cuba untuk mencari ruang bernafas.”

Seorang lagi penduduk, Dalia Zaban, mendedahkan bahawa rumah ibu bapanya pernah diserang sehingga cermin tingkap dipecahkan dan kenderaan mereka dirosakkan. Beliau hanya berharap agar kumpulan peneroka tidak mengganggu festival pada hari tersebut.

Apabila menjelang petang dan angin mula reda, layang-layang tersebut perlahan-lahan diturunkan. Namun, bagi penduduk Burin seperti Qusai Walid Eid yang menghadiri festival itu saban tahun, mereka bertekad akan kembali lagi pada musim panas akan datang demi mempertahankan integriti dan membuktikan “akar umbi serta hak mutlak mereka di tanah suci ini.”

SUMBER: TRT World / AFP

Related Articles

Back to top button