PalestinSemasa

AS Dikatakan Rancang Pengusiran 1 Juta Rakyat Palestin dari Gaza ke Libya

Pentadbiran Presiden AS Donald Trump dilaporkan sedang membangunkan rancangan kontroversi untuk mengusir dan menempatkan semula satu juta rakyat Palestin dari Gaza ke Libya secara kekal, menurut laporan NBC News yang memetik lima sumber yang mengetahui perkara tersebut.

Menurut laporan pada Jumaat, rancangan ini telah dibincangkan dengan kepimpinan Libya, dengan AS menawarkan untuk membebaskan berbilion dolar dana Libya yang dibekukan lebih sedekad lalu sebagai pertukaran untuk menerima rakyat Palestin yang diusir.

Trump, dalam meja bulat perniagaan di Qatar pada Khamis, mengulangi hasratnya untuk mengambil alih Gaza, menyatakan AS akan menjadikannya “zon kebebasan” dan mendakwa tiada apa lagi yang boleh diselamatkan di wilayah itu. Beliau mula-mula mencadangkan idea ini pada Februari, menyatakan AS akan membangunkan semula Gaza sambil memaksa rakyat Palestin berpindah ke tempat lain.

Rancangan ini mendapat kecaman antarabangsa, dengan rakyat Palestin, negara-negara Arab, dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkannya sebagai pembersihan etnik. Basem Naim, pegawai kanan Hamas, menegaskan rakyat Palestin berakar umbi di tanah air mereka dan bersedia berkorban untuk mempertahankannya. “Hanya rakyat Palestin berhak menentukan masa depan mereka,” katanya kepada NBC News.

Krisis kemanusiaan di Gaza semakin parah, dengan Israel menyekat semua bekalan makanan dan perubatan, memperhebat pengeboman, dan mengancam pencerobohan darat yang lebih sengit. Pegawai kemanusiaan memberi amaran tentang ancaman kebuluran, manakala doktor melaporkan kehabisan ubat untuk rawatan rutin. Sejak Oktober 2023, serangan Israel telah membunuh hampir 64,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta memusnahkan sebahagian besar Gaza.

Bushra Khalidi dari Oxfam menyatakan, “Gaza telah menjadi tempat di mana undang-undang antarabangsa digantung, dan kemanusiaan ditinggalkan.” Beliau menambah, dunia seolah-olah berpaling tadah daripada kengerian yang berlangsung selama 19 bulan ini.

Sumber: TRT World / Agensi

Related Articles

Back to top button