
Pengasas dan Presiden Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa (IPSI), YBhg. Dato’ Haji Kamarudin bin Abdullah, telah dianugerahkan Darjah Dato’ Paduka Mahkota Terengganu (D.P.M.T) yang membawa gelaran Dato’. Penganugerahan ini disampaikan sempena Sambutan Ulang Tahun ke-63 Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Sultan Terengganu.
Anugerah berprestij ini merupakan pengiktirafan terhadap sumbangan besar Dato’ Haji Kamarudin dalam bidang dakwah dan penyebaran nilai-nilai kebaikan kepada masyarakat. Dengan pengalaman 35 tahun dalam dunia dakwah, beliau telah memimpin IPSI dengan penuh dedikasi, memperjuangkan misi penyebaran Islam di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Penganugerahan ini diharapkan dapat memacu semangat Dato’ Haji Kamarudin dan IPSI untuk terus mempergiat usaha dakwah, khususnya di Negeri Terengganu dan seluruh Malaysia. Semoga dengan anugerah ini, usaha penyebaran kebaikan dan dakwah dapat dipertingkatkan ke peringkat yang lebih tinggi, demi manfaat seluruh masyarakat.
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Dato’ Haji Kamarudin atas pengiktirafan ini, dengan harapan beliau terus menjadi inspirasi dalam memajukan kerja-kerja dakwah di Malaysia.