
Sekurang-kurangnya 86 rakyat Palestin, termasuk 76 kanak-kanak, telah meninggal dunia akibat kelaparan dan kekurangan zat makanan susulan sekatan ketat Israel yang menghalang kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza sejak Oktober 2023, lapor Kementerian Kesihatan Gaza.
Dalam kenyataan pada Ahad, kementerian itu melabelkan krisis ini sebagai “pembunuhan beramai-ramai senyap” yang berlaku di wilayah terkepung itu, sambil menegaskan bahawa Israel dan masyarakat antarabangsa perlu bertanggungjawab atas kemerosotan keadaan kemanusiaan. Dalam tempoh 24 jam sahaja, 18 orang dilaporkan meninggal dunia akibat kebuluran, mendorong gesaan segera untuk membuka semula sempadan Gaza bagi membolehkan kemasukan makanan dan ubat-ubatan.
Israel telah menutup semua laluan masuk ke Gaza sejak 2 Mac, menyekat akses kepada bantuan kemanusiaan dan mempercepatkan krisis kelaparan. Menurut agensi berita rasmi Palestin, WAFA, kira-kira 11,000 rakyat Palestin dikhuatiri tertimbus di bawah runtuhan rumah yang musnah, manakala pakar menganggarkan jumlah kematian sebenar mungkin mencecah 200,000, jauh melebihi laporan rasmi.
Serangan berterusan Israel sejak Oktober 2023 telah membunuh hampir 59,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta memusnahkan sebahagian besar infrastruktur Gaza, memaksa hampir keseluruhan penduduknya berpindah. Pada November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant, atas tuduhan jenayah perang dan jenayah kemanusiaan. Israel juga sedang berdepan dengan kes pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Kementerian Kesihatan Gaza menyeru pembukaan semula sempadan dengan segera untuk menyelamatkan nyawa penduduk yang semakin tenat. Sementara itu, laporan TRT Global memetik pelapor PBB yang mengecam Israel atas krisis kelaparan yang melanda berjuta-juta penduduk Gaza.
Sumber: TRT World & Agensi