Sebuah kumpulan hak asasi manusia yang berpangkalan di Geneva berkata bahawa tentera israel menggunakan tiga kanak-kanak Palestin sebagai “perisai manusia” semasa serbuan mereka ke atas kem pelarian Tulkarm di Tebing Barat yang diduduki utara pada 5 dan 6 Mei.
Defence for Children International mendokumentasikan testimoni daripada tiga kanak-kanak yang menggambarkan keadaan dan serangan yang sama semasa dijadikan”perisai manusia” oleh tentera israel.
Kenyataan itu menjelaskan bahawa askar memaksa mereka berjalan di hadapan askar itu di bangunan dan lorong kem, menggeledah rumah, dan menuntut penduduk berpindah. Dalam dua kes, askar meletakkan senapang mereka di bahu dua kanak-kanak dan melepaskan tembakan.
Dalam perkembangan yang berlainan, sekurang-kurangnya 500 kakitangan perubatan telah terbunuh sejak permulaan perang israel ke atas Gaza pada 7 Oktober tahun lalu, kata Kementerian Kesihatan Palestin di kawasan yang dikepung itu ketika dunia menyambut Hari Jururawat Antarabangsa.
“Di sini, di Palestin dan di Gaza khususnya, israel telah membunuh 138 jururawat. Hari Jururawat Antarabangsa tahun ini adalah luar biasa, dan menjadi hak kami untuk menamakan tahun ini sebagai Tahun Kejururawatan,” kata jurucakap kementerian Khalil al-Daqran semasa sidang akhbar di acara protes duduk yang dianjurkan oleh jururawat di Al-Aqsa Martyrs Hospital di bandar Deir al-Balah di tengah Gaza.
“Jururawat, bidan dan pasukan perubatan adalah sebahagian daripada nadi rakyat Palestin. Mereka adalah syuhada yang memainkan peranan untuk menyelamatkan nyawa mereka yang cedera dan sakit,” kata al-Daqran.
“Mereka menunaikan sumpah profesional mereka, dengan bilangan kakitangan perubatan yang syahid mencecah 500 orang, 1,500 cedera dan 312 menjadi tahanan,” tambahnya.
Al-Daqran menyeru komuniti antarabangsa dan orang bebas di dunia untuk melindungi kakitangan perubatan dan institusi kesihatan dan mengecam serangan terhadap mereka.
SUMBER : TRT World